Alasan 1. Walaupun dedah aurat, diri masih
menjaga maruah dan tidak melakukan perkara tak senonoh?
“Janganlah nilai orang dari luarannya. Don’t
judge a book by its cover!” “Walaupun tidak pakai tudung, saya tetap masih jaga
solat dan menjaga tingkah laku”
Jawapan: Adakah anda mendakwa diri anda
mempunyai hati yang suci, iman yang tinggi dan kononnya ia sudah cukup menjamin
maruah diri tanpa perlu menutup aurat? Tetapi adakah anda berani
menjamin bahawa semua lelaki ajnabi yang melihat aurat anda mempunyai hati
sesuci dan iman setinggi anda juga? Langsungkah mereka tidak memberi
kesan dan tidak membangkitkan nafsu serakah mereka yang berada di hadapan anda?
Jadi, perlu diberi kefahaman bahawa kewajipan wanita menutup aurat bukanlah semata-mata
untuk menjaga maslahat dan maruah pihak wanita itu sendiri, tetapi maslahah
yang lebih besar ialah menjaga masyarakat yang berada di sekelilingnya agar
tidak terfitnah disebabkan budaya mendedahkan aurat. Betapa banyak
kes-kes jenayah rogol dan cabul berpunca daripada wanita sendiri yang
mempamerkan tubuh badannya yang terdedah di hadapan khalayak lelaki. Maka
tutuplah aurat bukan sekadar untuk anda, tetapi juga demi kemaslahatan orang
lain di sekeliling
Alasan 2. Perempuan yang bertudung lebih teruk
daripada tak bertudung?
“Ala… perempuan pakai tudung pun berperangai
buruk!” “Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan
kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung!” “Ada
seorang kakak tu pakai tudung, tapi perangai buruk, mengumpat sana mengumpat
sini” “Siapa kata orang tak pakai tudung semua jahat?”
Jawapan: Ungkapan anda ini seolah-olah sedang
memperlekehkan insan yang sedang berusaha mentaati perintah Allah (dalam bab
tutup Aurat). Apakah anda perasan bahawa anda sudah lebih baik
berbanding insan yang menutup aurat tersebut apabila anda berani melafazkan
ungkapan seperti itu, sedangkan anda sendiri membiarkan aurat anda terbuka?
Salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk
kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan
akhlak. Ia adalah teknik Syaitan untuk menghentikan seseorang dari
melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.
Nabi bersabda: Dua perkara yang
sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan
sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur
dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka
yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal
keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia
memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya. (H.R. At-Tirmidzi)
Alasan 3. Tidak mahu hipokrit bila bertudung?
“Bertudung ni perlukan keikhlasan…” “Saya mahu
berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan
ikhlas, bukan kerana disuruh.” “Buat apa pakai tudung kalau hati tak betul”
Jawapan: Allah s.w.t dan RasulNya telah
mengarahkan seluruh wanita muslimah WAJIB untuk menutup aurat tidak
kira sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh
orang lain atau terbit dari hatinya sendiri. Sama seperti mendirikan
solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam
yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak.
Sekiranya ikhlas dijadikan alasan maka, ramai diluar sana tidak perlu solat 5
waktu kerana sukar mencapai tahap keikhlasan yang ingin dicapai.
Perlu diingatkan, jika seseorang menutup aurat
secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar
keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira
sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya
BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia
terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir. Namun
jika dia degil dan tidak menutup aurat, atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU
HIPOKRIT dan sebagainya, tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah
secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA
KALI.
Dosa di level pertama dan kedua sekaligus,
malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah
apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki
bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak
mata lelaki yang melihat. Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least
dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.
Alasan 4. Menunggu seru untuk bertudung?
“Biarlah ianya datang daripada saya sendiri,
bukan dipaksa sesiapa. Bila tiba masa, Insyaallah saya bertudung” “Saya tahu
hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang” “Insyaallah, apabila sudah berkahwin
barulah saya bersedia”
Jawapan: Jika bukan sekarang, maka adakah
apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin berubah? Sedarilah wahai
diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada
sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.
Wahai kaum hawa, saya nak nasihatkan supaya tutuplah aurat korang dengan sempurna.. Saya tahu di akhirat kelak korang bakal dibantu oleh empat orang manusia iaitu ayah, suami, abang atau adik lelaki dan anak lelaki korang.. Tapi sanggup ke korang mengheret mereka sekali untuk masuk ke neraka hanya disebabkan korang seorang sahaja? fikir-fikirkan lah..
No comments:
Post a Comment